Monday, January 16, 2012

PELAJAR UGUT PM (NAJIB)

PULAU PINANG 16 Jan. - Polis sedang menyiasat sama ada pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditahan semalam kerana mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dalam laman sosial Facebook miliknya mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan subversif.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya akan menyiasat daripada segenap sudut bagi memastikan anasir yang boleh mencetuskan kekacauan di negara ini tidak terlibat.

Menurutnya, meskipun pelajar tersebut mengakui perbuatannya hanya sebagai gurauan, ia tetap dianggap serius kerana berbaur ancaman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita menjalankan siasatan awal dan pelajar itu mengaku mengeluarkan kenyataan sedemikian atas kehendak sendiri.

"Malah, pelajar itu turut mendakwa bahawa kenyataan yang dikeluarkannya sekadar gurauan dan tiada maksud lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Polis semalam menahan seorang pelajar jurusan kejuruteraan dari USM Kampus Nibong Tebal di sini berikutan kenyataan berbaur ugutan dalam laman sosial Facebook miliknya.

Pelajar lelaki berusia 24 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada kira-kira pukul 1.30 petang bagi membantu siasatan.

Dalam status laman sosialnya, pelajar berkenaan menyebut Najib is coming to our campus...lets bomb his helicopter (Najib akan datang ke kampus kita...mari kita letupkan helikopternya.

Kenyataan pelajar itu kemudiannya disiarkan di sebuah blog, http://dhanyaraam.blogspot.com.

Ayub memberitahu, pelajar berkenaan dibebaskan semalam dengan jaminan polis selama sebulan bagi membolehkannya menduduki peperiksaan di kampusnya yang bermula hari ini.

Bagaimanapun, tegas beliau, polis boleh memanggilnya semula pada bila-bila masa jika ada soal siasat yang hendak dijalankan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengancam ketenteraman awam.

"Jangan menyalahgunakan kebebasan bersuara tanpa memikirkan akibat daripada tindakan yang mereka lakukan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment